REE sanusi
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor minta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berurusan dengan peguamnya berhubung pembayaran kes saman berjumlah RM120,000.

Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau telah menyerahkan urusan pembayaran itu kepada peguamnya dan Mahfuz diminta bersabar.

“Sabarlah, proses pembayaran ini melibatkan guaman dan sudah tentu mengambil masa. Saya sudah minta peguam saya uruskan. Dia (Mahfuz) boleh minta peguamnya berurusan dengan peguam saya, bukan Sanusi dan Mahfuz,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian hari ini.

Pada 3 April lalu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz untuk menaikkan jumlah bayaran ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berikutan hantaran dibuat Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, mengaitkan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan berkenaan.

Justeru, minggu lalu Mahfuz mengingatkan Sanusi agar membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 seperti diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya kerana pemimpin Pas itu belum melunaskan tuntutan tersebut walaupun tempoh pembayaran ditetapkan 14 hari daripada proses penghakiman.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menolak kemungkinan menaikkan tuntutan daripada RM120,000 kepada RM240,000 jika tiada sebarang tindakan susulan daripada Sanusi.

Mengulas lanjut, Sanusi minta Mahfuz merujuk kepada peguam untuk proses pembayaran kes saman fitnah itu, bukan memintanya secara terus melalui rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, semua urusan berkaitan termasuk pembayaran terhadap tuntutan Mahfuz itu akan diuruskan oleh peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast