MELAKA – Bekalan air di Melaka dijamin mencukupi untuk menampung keperluan hampir sejuta penduduk sehingga Ogos ini jika berlaku kemarau berterusan susulan fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri telah mengambil semua langkah awal untuk memastikan semua kawasan tadahan air berada pada tahap maksimum ketika ini.
“Semua kolam-kolam tadahan berada dalam keadaan 100 peratus bersedia walaupun El Nino dijangka melanda negeri Melaka dalam tempoh musim kemarau ini.
“Kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka (Berhad) telah bersedia untuk menjadualkan bekalan air dan Insya-Allah kita boleh bertahan sampai bulan Ogos jika berlaku kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini hari ini. Hadir sama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.
Ab Rauf mengulas ramalan pakar alam sekitar yang mencadangkan kerajaan dan rakyat perlu melakukan persediaan awal segera bagi menghadapi fenomena El Nino kuat bagi meminimumkan impak fenomena itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini keadaan paras takungan air di semua empangan berada pada tahap maksimum.
Jelasnnya, setakat Selasa lalu Empangan Jus dan Asahan masing-masing merekodkan paras 100 peratus manakala Empangan Durian Tunggal 99.7 peratus.
“Kita sedang usahakan kadar penyuraian pembahagian air ke seluruh kawasan akan dibuat secara berjadual dan kita dah bersedia dengan perancangan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette