Pelakon, Didie Alias yang juga bekas isteri kepada allahyarham pelakon, Ridzuan Hashim bersama anak-anak mengaminkan bacaan doa pada pengebumian pelakon tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 04 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Jenazah pelakon, Allahyarham Ridzuan Hashim selamat dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, Hulu Langat, pukul 8.30 malam ini.

Sebelum itu, jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Mutaqqim, Hulu Langat.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara mara, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Antaranya, Datuk Yusof Haslam, Datin Alyah, Edika Yusof, Fizo Omar, Norman Hakim, Ieda Moin dan Zalif Sidek.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 1.57 tengahari hari ini.

Menurut laporan anak allahyarham, Dhaniya Ridzuan memaklumkan bapanya dipercayai mengalami serangan jantung lalu rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi.

Katanya, allahyarham juga memiliki sejarah penyakit jantung sebelum ini dan pernah dimasukkan ke hospital.

Terdahulu, Ridzuan disahkan meninggal dunia di HKL pagi tadi.

Berita pemergian aktor yang dikenali sebagai watak King dalam filem KL Gangster itu disahkan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias menerusi laman sosial, Instagram (IG) kira-kira pukul 2.50 petang.

Allahyarham mula mencipta nama sebagai peragawan terkenal menerusi pentas peragaan dan iklan komersial sebelum terbabit dalam bidang lakonan.

Antara filem lakonan Allahyarham adalah Antara Dua Hati, Hati Bukan Kristal, KL Gangster dan beberapa buah filem lain.

Allahyarham berkahwin Didie pada 1991 dan berpisah pada 2002.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan lima orang anak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ridzuan Hashim meninggal dunia