Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kedua-dua mereka tentu bersetuju kenaikan OPR baru-baru ini memberi kesan mendalam terhadap golongan B40 dan M40.

Beliau menegaskan, penjelasan perlu diberikan kerana tidak mahu OPR ditafsirkan sebagai Operasi Peras Rakyat.

“B40 dan M40 merupakan 80 peratus rakyat Malaysia. Mereka menghadapi masalah Kewangan dan ekonomi sekarang. Jadi saya tidak mahu rakyat jelata sekarang yang di enam negeri di Semenanjung akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani sekarang dengan pertanyaan sinikal mereka iaitu adakah OPR ini boleh ditafsirkan sebagai Operasi Peras Rakyat?

“Saya berharap tidaklah sampai begitu. Jadi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika terbaca tulisan ini, tolonglah jelaskan,” tegas Hassan.

Menurut Hassan, Bank Negara Malaysia mungkin mempunyai alasan menaikkan kadar OPR.

Malah rakyat juga terpaksa bersangka baik kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) Bank Negara yang membuat keputusan menaikkan kadar OPR.

“BNM mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah,” kata Hassan.

Tiga hari lalu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar OPR meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

BNM turut memaklumkan kebanyakan bank pusat mengekalkan dasar kewangan yang ketat.

“Memandangkan prospek pertumbuhan dalam negeri yang terus berdaya tahan, MPC menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.

“Berikutan keputusan ini, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi,” memetik kenyataan tersebut.

Bagaimanapun keputusan BNM menaikan kadar OPR mendatangkan rungutan kepada rakyat yang terkesan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast