KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terkini keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) iaitu Proton X90.
Pada harga bermula RM123,800, X90 ditawarkan dengan empat varian iaitu Proton X90 1.5 TGDI BSG Standard yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM123,800; Proton X90 1.5 TGDI BSG Executive (bermula RM130,800); Proton X90 1.5 TGDI BSG Premium (bermula RM144,800); dan Proton X90 1.5 TGDI BSG Flagship (bermula RM152,800).
Pelancaran Proton X90 bukan sahaja menambah model ketiga kepada rangkaian SUV jenama terkemuka di pasaran, tetapi ia juga merupakan tawaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) syarikat.
Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengerusi Geely Holding Group, Eric Li Shufu; Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.
Sementara itu model baharu tersebut dijana oleh enjin TGDi 1.5 liter yang juga menjadi pemenang anugerah, yang dipadankan dengan sistem sinergi motor elektrik 48V, sekali gus menjanjikan penjimatan penggunaan bahan api, pelepasan karbon yang lebih rendah, prestasi yang lebih baik dan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
Daripada aspek rekaan luaran, Proton X90 tidak lagi menggunakan rekaan gril Infinite Weave seperti model terkini Proton yang lain, tetapi digantikan dengan rekaan seakan batu permata atau pin krom.
Gril berkenaan diapit oleh sepasang lampu hadapan LED yang juga menerima rekaan berbeza dari kembarnya di China dan Filipina iaitu Geely Haoyue/Okavango.
Ia membolehkan kluster lampu berkenaan menerima empat unit LED yang disusun, selain model berkenaan menerima lampu isyarat membelok LED dengan corak pencahayaan jenis ‘sequential’.
Menurut Proton, X90 dihasilkan dari platform Advanced Versatile, dan ia mengambil masa bekerja selama 96,000 jam untuk disiapkan.
Ia membabitkan ujian pemanduan dalam jarak 1.2 juta kilometer, menukar posisi pemanduan dari sebelah kiri ke sebelah kanan.
Proton X90 juga menampilkan 45 peratus kandungan tempatan, dengan 500 komponen dibekalkan oleh vendor tempatan.
Proton X90 dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV), menjadikan ia bukan sahaja model hibrid pertama PROTON, malah kenderaan tenaga baharu pertama bagi jenama automotif berkenaan.
Unit MHEV berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan suntikan bahan api terus (T-GDI) dan dibantu oleh unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.
Antara tumpuan rekaan pada bahagian dalaman X90 ini adalah penggunaan fungsi keterhubungan menerusi skrin infotaimen berdiri sendiri yang bersaiz 12.3-inci pada bahagian tengah, manakala pemandu pula menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10-inci.
Bagi skrin sistem infotainmen, ia menampilkan pemproses EO2, ram 6 GB dengan memori dalaman 64 GB serta resolusi paparan 1920 x720 piksel.
Ia hadir dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport, selain beberapa aspek keselamatan termasuk brek parkir elektronik bersama fungsi ‘auto hold’, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Perincian keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk dua cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang, bantuan Auto Park, kamera 360 darjah dengan imej 3D serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS). – MalaysiaGazette