KUALA LUMPUR – Pelbagai cabaran dihadapi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sepanjang empat tahun penubuhannya dalam menongkah arus gelombang politik yang tiada pasang surut.
Namun, itulah Putra, sebuah parti politik yang tetap tegap dengan prinsip perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air atas dokongan nasionalisma kebangsaan demi menjunjung serta berpegang teguh kepada syariat Islam.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dalam perutusan empat tahun Putra hari ini berkata, bukan perkara mudah bagi Putra, sebuah parti baharu dalam persada politik Malaysia dan didominasi pula oleh parti yang sudah lama bertapak untuk bertahan begini lama.
Katanya, dalam bangsa Melayu mengikut fahaman dan taksub kepada parti politik yang bersaing sesama sendiri, menjadikan kuasa politik Melayu semakin terhakis.
“Parti Melayu dan Islam yang sekian lama dianggap keramat itu sudah menyimpang jauh dari teras perjuangan untuk Melayu dan Islam. Tonggak kepimpinan yang bersifat munafik itu juga bersengkongkol dengan mereka berfahaman liberal serta berselindung di sebalik nama perpaduan.
“Dewasa ini, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, tidak amanah, tiada integriti, tidak berakhlak, berpecah kerana hipokrit, mengikut nafsu serakah, mengejar jawatan dan kekayaan, bagaikan sebatian amalan dalam pentadbiran dan politik yang sinonim dengan bangsa Melayu.
“Kemelut bangsa Melayu yang lemas di bumi asal kian parah apabila kuasa politik dikuasai mereka berfahaman liberal dengan pemimpin Melayu Islam menang sorak, kampung tergadai,” katanya.
Beliau berkata, akibat daripada itu, bangsa Melayu hancur dan Islam terhina kerana pemimpin terdiri dari golongan munafik.
Maka ujarnya, berlakulah perpecahan sehingga terjerumus ke jurang keruntuhan sebuah lagi kerajaan Melayu atau Islam seperti mana tercatat dalam lipatan sejarah peradaban dunia.
Kerajaan Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan Turki Uthmaniyyah merupakan kerajaan yang hebat – bertahan beratus tahun, namun pada zaman terakhir sebelum kerajaan itu ranap, semua sifat buruk yang saya nyatakan ini ada pada kepimpinan kerajaan-kerajaan yang agung itu.
Beliau memetik ungkapan Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah, “Sepanjang sejarah, banyak negara telah mengalami kekalahan fizikal, tetapi itu tidak pernah menandakan berakhirnya sesebuah negara. Tetapi apabila sesebuah negara telah menjadi mangsa kekalahan psikologi, maka itu menandakan berakhirnya sesebuah negara.”
Ertinya, kata Ibrahim, walau separah mana pun kegawatan dan kepincangan yang sedang melanda bangsa Melayu hari ini, jangan sekali-kali tewas dari segi psikologi.
“Khususnya kepada golongan muda ahli Putra, jangan menyerah kalah. Kuatkan psikologi dan terus berjuang seperti kata Buya Hamka, jangan takut jatuh kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Yang takut gagal kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.
“Pesanan saya pula, kita tidak akan gagal, selagi kita tidak berhenti mencuba dan perjuangan Putra adalah perjuangan tanpa noktah untuk yang cekal dan sedia berkorban bagi meneruskan kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu Islam dan bukan setakat untuk anak bangsa yang tercicir sahaja,” katanya.
Kata beliau, bagi Putra, perjuangan yang sangat sukar dan kompleks ini adalah satu jihad fisabilillah untuk menegak kebenaran dan keadilan serta menentang kemungkaran.
Ibrahim turut mengingatkan ahli dan barisan kepimpinan Putra, bahawa prinsip perjuangan parti itu adalah berteraskan keikhlasan, berintegriti, bermoral, bersih dan telus.
Katanya, jangan sekali-kali mereka lupa dan abai teras prinsip perjuangan parti itu.
“Kepada kepimpinan Putra, suka saya sarankan agar cerminlah diri selalu. Seandai terasa tercemar atau tersimpang dari prinsip perjuangan yang saya tegaskan ini, anda ada dua pilihan – sama ada segera bersihkan diri atau sila tinggalkan barisan kepimpinan Putra.
“Tiada gunanya kita berjuang membanteras kebobrokan ahli dan pemimpin parti lawan, sedangkan diri kita pun sama. Air musta’mal dan mutanajis tidak boleh membersihkan Najis,” ujar beliau. – MalaysiaGazette