Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Kerajaan mengingatkan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) bahawa Malaysia bukan negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas prinsip nilai kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan golongan ini berada untuk sementara waktu di Malaysia sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.

“Kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

“UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di dalam negara.

“Ia selaras dengan mandat dan fungsi penubuhannya serta tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka, Majlis Keselamatan Negara di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan amat mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka ini.

“Aktiviti itu bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat yang sekaligus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan sedang mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab agensi itu di dalam negara selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950) tersebut.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mana warganegara atau bukan warganegara didapati bersekongkol dengan ejen-ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast