Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiga belas tokoh agama dan pendakwah diberikan pengecualian tauliah mengajar agama Islam di Pahang.

Menurut sepucuk surat pekeliling ditandatangi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Ahmad Hairi Hussain, kesemua yang diberi pengecualian tidak perlu memohon Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam untuk mengajar agama atau berceramah di Negeri Pahang

Antara yang disenaraikan adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; bekas Mufti Negeri Pahang, Datuk Sulaiman Ahmad; mantan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz; dan mantan Al-Fadhil Qadhi, Hamdan Yusi Yusuf.

Selain itu, turut diberi pengecualian adalah, Habib Ali Zainal Abidin; Datuk Mohd Kazim Elias; Prof. Madya Dr. Mohd Izhar Mohd Arif; Zul Ramli Ghazali; Syed Abd Kadir Al-Jofree; Azhar Idrus; Datuk Dr. Farid Ravi Abdullah; dan Muhadir Mohd Joll.

Seorang pendakwah terkenal warga Indonesia, Abdul Somad, juga termasuk dalam senarai pengecualian itu.

 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut surat berkenaan, Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Agama Islam Bil.2/2022 bersetuju memutuskan nama-nama yang tersenarai berdasarkan peruntukan Kaedah 17(a) Kaedah-Kaedah Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam (Pahang) 2017.

Surat itu bertarikh 27 Disember 2022 dan tular di media-media sosial hari ini.

Pendakwah terkenal, Datuk Kazim Elias

Selain 13 pendakwah ternama itu, Kerajaan Pahang juga menyenaraikan 13 nama pengasas, pengetua pondok, maahad taafiz, madrasah yang dikecualikan dari memohon perakuan mengajar agama di negeri itu.</span>

Agamawan itu adalah Mohd Abdulbaki Osman; Nafiri Toazi; Mahyuddin Hussin; Ramli Mohamed; Wan Zukir Wan Ismail; Husain (Pak Kob Chenor); Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki; dan Maulana Juhari Ali.

Wan Hilmi Wan Mohamad; Uwais Al Qarni; Wan Adli Wan Mohamad; Sabaruddin Othman; dan Mohd Anuar Abdul Rahman juga antara yang dikecualikan.

Pada 15 Mac lalu media melaporkan Zulkifli mencadangkan tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealimannya boleh diberi pengecualian tauliah mengajar oleh pihak berkuasa agama sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri.

Beliau dilaporkan berkata, tauliah khas itu perlu kerana sesuai kealiman serta kedudukan tokoh itu dalam sesebuah negara atau institusi oleh raja selaku Ketua Agama Islam atau mufti negeri berkenaan, apatah lagi di luar negara. -MalaysiaGazette