KLANG – Kerajaan menyasarkan 2025 sebagai tahun sifar penggunaan beg plastik, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada tahun itu, semua premis pelbagai jenis jualan tidak lagi menggunakannya.
“Kita tidak akan buat secara serentak sebaliknya secara berperingkat memandangkan rakyat sudah biasa dengan penggunaan beg plastik setiap kali mereka membeli belah.
“Untuk membiasakan dengan keadaan ini, kita ambil pendekatan beransur-ansur dengan disusuli kempen tanpa beg plastik dari semasa ke semasa.
“Larangan ini bukan melibatkan di premis besar malah warung tepi jalan juga turut dikuatkuasakan,” katanya pada majlis pelancaran Madani Reusable Bag Tentatif program Kempen Tanpa Beg Plastik di 99 Speed Mart di sini hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi menyaksikan penyerahan Sijil Pengiktirafan Pencapaian Platinum GreenRE Standard oleh Pengarah Pengarah GreenRe Sdn. Bhd., Datuk Muztaza Mohamad kepada Pengarah Urusan Speed Mart, Lee Thiam Wah.
Dalam pada itu, beliau turut melakukan sesi walkabout di cawangan 99 Speed Mart.
Menurut beliau, langkah yang diambil kerajaan itu sebagai usaha melahirkan negara yang bersih daripada kesan plastik dan negara sihat menjelang 2030.
Katanya, sebelum ini, beberapa negeri komited menjalankan kempen tanpa beg plastik yang dimulakan pada awal tahun 2017 dengan setiap pengguna tidak lagi dibekalkan secara percuma.
Negeri itu, kata beliau, melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.
“Cuma cara pelaksanaan agak berbeza iaitu setiap pasar raya atau premis perniagaan mengenakan bayaran bagi beg plastik dan dilakukan pada hari tertentu.
“Kita berdepan dengan sampah plastik yang agak serius kerana ia digunakan tanpa kawalan oleh kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan.
“Sekarang, dengan adanya kempen dan larangan tertentu, kerajaan dapat mengurangkan penggunaannya,” kata beliau.
Menurutnya, mengikut laporan World Wildlife Fund (WWF) anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan di Malaysia mencecah 148,000 metrik tan bagi tahun 2020. – MalaysiaGazette