Dr. Muhamad Akmal Salleh

MELAKA – Melaka menyasarkan 180 nelayan pantai di negeri ini dinaik taraf kepada kumpulan T20 menerusi projek Kebun Kerang
kawasan seluas 21 hektar di perairan Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek bermula di pantai Merlimau hingga Sebatu di Jasin itu dijangka mampu melonjakkan pendapatan nelayan sehingga 100 peratus.

“Kalau ikut prosedur operasi standard (SOP) penuaian yang ditetapkan nelayan-nelayan ini sebenarnya boleh raih lebih 100 peratus pendapatan daripada biasa.

“Malah mereka ini boleh meningkatkan ekonomi daripada B40 kepada M40 atau pun T20 kerana buktinya kita dah lihat berlaku pada nelayan di Perak dan Pulau Pinang yang mana mereka dah tak jadi nelayan dah, mereka usahakan kebun kerang sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata pencapaian itu diharapkan mampu diterjemahkan di Melaka dan dapat dicapai dalam tempoh setahun dengan pengeluaran hasil sekurang-kurangnya 750 tan setahun.

“Kalau dilihat, projek Kebun Kerang ini dibahagikan kepada 18 lot ternakan yang meliputi 10 peserta di setiap lot menjadikan 180 peserta untuk semua 18 lot

“Setiap lot pula mampu menghasilkan sebanyak lebih tujuh tan kerang dengan nilai hampir RM72,000,” katanya sambil menambah inisiatif itu adalah hasil kerjasama kerajaan negeri bersama Jabatan Perikanan.

Tambahnya, selain perairan Merlimau dan Sebatu, kerajaan negeri juga sedang merancang memperluaskan lagi projek Kebun Kerang dan Kupang bagi merancakkan lagi sektor akuakultur negeri. – MalaysiaGazette.