Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka PDRM di Pulapol, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan menerima laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai salah laku membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti laporan yang diterima daripada agensi penguatkuasaan undang-undang itu dan akan cuba melakukan penambahbaikan.

Katanya, langkah itu perlu kerana tidak mahu merentap motivasi anggota jabatan berkenaan kerana percaya kepimpinan polis sedia ada memiliki ruang penambahbaikan.

“Pertama, saya fikir sikap yang betul yang patut kami ambil adalah jangan ada denial syndrome (sindrom penafian). Terima bahawa hasil dari laporan agensi berkaitan soal integriti dan salah laku, faktanya begitu.

“Kedua, kami harus respon kepada laporan itu dengan mengambil beberapa langkah dengan tujuan akhirnya untuk mengatasi atau pun memajukan lagi, jangan berlaku keadaan yang bertambah buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri, PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahm Fadzil dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Saifuddin lagi, beliau kini sedang cuba memahami fungsi agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu selepas menerajui kementerian berkenaan sejak lima bulan lalu.

Ujarnya, antara perkara yang diteliti adalah menerusi skop dan tugasan anggota dalam pasukan tersebut termasuk langkah-langkah yang diambil seawal mereka terpilih untuk menyertai pasukan berkenaan.

Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilapor berkata, terdapat agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM mengesyorkan tindakan diambil.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu tindakan susulan daripada agensi kerajaan berhubung lebih 500 laporan salah laku, yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu.

Ujarnya, selepas agensi kerajaan mengesahkan laporan itu, jawatankuasa terdiri daripada ketua jabatan terpilih akan dibentuk untuk menyiasat kes terbabit.

Tambah beliau, walaupun kes jenayah akan dibawa ke mahkamah, salah laku akan disemak oleh jawatankuasa, dengan ketua jabatan mempunyai hak memutuskan tindakan terhadap kakitangan mereka selepas siasatan. – MalaysiaGazette