Mohamad Khaled ketika melawat UTHM baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diminta membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memeta ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai universiti sulung Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN),  UTHM mampu memainkan peranan tersebut.

“Antara peranan yang boleh dimainkan oleh UTHM bersama-sama
dengan universiti lain di bawah MTUN adalah dengan memperkasakan program-program yang ditawarkan termasuklah pengenalan TVET aras tinggi (HTVET) dan program lepasan ijazah TVET.

“KPT akan mengkaji keperluan menambah bilangan kemasukan pelajar dalam TVET di universiti-universiti di bawah MTUN sesuai dengan keperluan semasa negara,” kata Mohamed Khaled.

Beliau turut menyarankan UTHM terus meningkatkan kerjasama dengan pihak industri terutama dalam penyelidikan.

UTHM juga perlu memperhebat program kelestarian dan perantis bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan, khususnya dalam bidang tujahan yang berasaskan teknologi lestari dan pengangkutan.

Beliau menegaskan, pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada kejayaan TVET.

Mohamed Khaled berbual dengan pelajar UTHM

Mohamed Khaled telah mengadakan lawatan ke UTHM yang terletak di Batu Pahat, Johor pada 8 Mei lalu.

Lawatan tersebut merupakan siri lawatan kerja ke universiti di bawah MTUN selepas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 5 Mei lalu.

Lawatan kerja tersebut dimulakan dengan tinjauan ke tapak
Pameran Berimpak Tinggi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan
Vokasional (TVET) UTHM dan perkembangan aktiviti pelajar.

Turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UTHM dan pihak industri iaitu Elsevier dan Fuzi Dream Sdn. Bhd.

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim kemudiannya telah membuat pembentangan pencapaian serta hala tuju UTHM termasuklah pelan pelaksanaan inisiatif Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM Datuk Seri Ibrahim Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan) Datuk Prof. Dr. Norzaini Azman, pengurusan kanan serta wakil pelajar UTHM. – MalaysiaGazette