KUALA LUMPUR – Bangsa Malaysia yang bersatu padu perlu diwujudkan bagi menjadikan negara ini hebat dan dipandang tinggi di seluruh dunia.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, kegagalan Wawasan 2020 menyebabkan diaspora Malaysia bertebaran di seluruh dunia dan mereka telah menjadikan negara-negara lain lebih hebat.
Menurut beliau, rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai sebab untuk berbangga dengan kerakyatan dan negara mereka serta segala pencapaiannya.
“Sebab itulah kita perlu mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
“Walaupun berbeza bangsa dan agama, semua rakyat Malaysia perlu melihat diri mereka sebagai satu bangsa yang berkongsi negara yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang menambah, semua rakyat Malaysia berkongsi matlamat yang sama dan kesetiaan serta dedikasi mereka terhadap negara tetap teguh walaupun berbeza fahaman politik.
Beliau turut menyeru Perikatan Nasional (PN) agar bersama-sama bersaing dalam usaha menjadikan Malaysia dalam kalangan negara terbaik di dunia.
Kit Siang berkata, mereka seharusnya berbuat demikian walaupun tidak menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadikan Malaysia sebuah negara terbaik bertaraf dunia dan bukannya sebuah negara yang berpecah belah, gagal dan kleptokratik,” jelasnya. – MalaysiaGazette