Majlis perasmian Unicorn Strawberry Chocolate berlangsung baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat produk makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin jenama Choco Albab, Saudagar Asia Sdn. Bhd. menyasarkan jualan 100,000 tub mini menerusi pengenalan produk terbaharu edisi berwarna-warni iaitu Unicorn Strawberry Chocolate.

Pengasasnya, Said Saiful Fazli berkata, tempahan produk kelima itu dibuka secara terhad kerana ia menjalani penyelidikan dan pembangunan yang begitu teliti bagi menghasilkan produk terbaik dan berkualiti sekaligus dapat memenuhi pasaran tempatan.

Beliau berkata, antara keistimewaan produk edisi terhad itu adalah penggunaan coklat strawberi premium digandingkan bersama bijirin berwarna warni yang direka khas bagi memenuhi keperluan pelanggan cilik.

“Produk baharu ini didatangkan dalam pek mini yang lebih mudah dibawa ke mana sahaja dan amat sesuai untuk kanak-kanak.

“Kami telah berusaha untuk menghasilkan satu lagi produk yang inovatif dan ianya direka khas bagi memenuhi keperluan pelanggan cilik kami dengan tub yang lebih kecil berbanding tub besar bagi produk terdahulu.

“Bahan-bahan produk Unicorn Strawberry Chocolate pula terdiri daripada coklat strawberi premium, bijirin premium serta minyak sayuran,” katanya pada majlis perasmian Unicorn Strawberry Chocolate di sini baru-baru ini.

Choco Albab, kini tampil memperkenalkan produk inovasi terbaharu edisi berwarna-warni, Unicorn Strawberry Chocolate.

Choco Albab yang ditubuhkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020 sebelum ini telah mendapat permintaan sehingga 100,000 tub sebulan.

Produk bijirin campuran Choco Albab sebelum ini menggunakan kombinasi coklat dan kacang Almond yang sangat premium dengan empat jenis perisa iaitu Choco Rice, Choco Ball Mini Choco Crunch dan Belgian Dark Chocolate. – MalaysiaGazette