ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Seorang gadis yang dipercayai dilarikan  teman lelakinya yang juga seorang pekerja besi buruk sejak 11 bulan lalu akhirnya berjaya diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Banting pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang berusia 17 tahun itu dipercayai tinggal bersama suspek di stor besi buruk sejak dilarikan pada Julai tahun lalu.

“Hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan kedudukan mangsa dan  menahan suspek selepas menggempur sebuah rumah di sebuah kampung di Banting.

“Hasil soal siasat lanjut ke atas suspek, polis berjaya melakukan risikan sebelum menjejaki dan menemui mangsa di sebuah kampung iaitu Kampung Olak Lempit di daerah sama.

“Siasatan awal polis mendapati motif kejadian berlaku adalah dipercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 tetapi mengesyaki gadis itu mempunyai teman lelaki lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, siasatan juga mendapati mangsa dipercayai memang mengikuti suspek ke Banting dan tinggal bersama sejak 11 lalu.

Namun, katanya, polis meneruskan siasatan dalam kes ini di bawah Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa (masih bawah umur kerana) berusia 17 tahun.

“Sepanjang dilaporkan hilang, mangsa tidak pernah menghubungi ahli keluarganya yang menetap di Desa Mentari, Petaling Jaya dan polis meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual terhadap mangsa walaupun mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tegas Mohamad Fakhrudin, semakan polis mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis berjaya mendapatkan perintah reman selama dua hari ke atas suspek sejak semalam untuk membantu siasatan yang turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette