Sepasang kekasih dan tujuh lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus sebuah syarikat yang mati ditikam dalam satu pergaduhan di sini awal pagi semalam.

MELAKA – Sepasang kekasih dan tujuh lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pengurus sebuah syarikat yang mati ditikam dalam satu pergaduhan di sini awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga 16 Mei itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mendapat permohonan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu semua suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun berpakaian lokap dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada pukul 9 pagi.

Hari ini MalaysiaGazette melaporkan gara-gara dipercayai bercakap mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita, pengurus sebuah syarikat maut ditikam seorang pelanggan lain di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, mangsa berusia 35 tahun meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Melaka akibat parah ditikam di jantung.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dipetik berkata, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa bersama beberapa rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk selepas selesai berhibur.

Selesai makan, si mati dikatakan bercakap dengan kawannya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita di situ berusia 26 tahun yang kemudian ditegur lelaki berusia 27 tahun mendakwa dia adalah pengawal peribadi wanita terbabit.

Keadaan menjadi tegang apabila berlaku tolak menolak dan tumbuk menumbuk antara si mati, pengawal peribadi dan kekasih wanita itu berusia 36 tahun.

Christopher menambah, polis kemudian menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada pukul 4.15 pagi dan pemeriksaan selepas itu mendapati mangsa dalam keadaan cedera dan tidak sedar.

Lelaki itu di bawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannnya menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya susulan itu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun termasuk pengawal peribadi berkenaan serta teman wanita itu dan kekasihnya itu untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas pisau dan batang besi yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Maut ditikam kerana komen saiz payudara pelanggan