Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahari didakwa sembilan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM4juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 10 MEI 2023.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan memindahkan kes rasuah seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii), Datuk Mohamad Madani Sahar ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mohamad Madani yang menghadapi sembilan pertuduhan tambahan melibatkan wang rasuah berjumlah kira-kira RM4 juta hari ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu dan minta dibicarakan.

Hakim Datuk Rozilah Salleh membenarkan pindahan kes itu dan mengekalkan ikat jamin sebanyak RM300,000 yang sudah dibayar bagi kes sebelum ini.

Sebutan semua kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan 9 Jun ini.

Mohamad Madani diwakili dua peguam iaitu Rahmat Hazlan dan Rahmat Abu Bakar manakala kes dikendalikan tiga Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Muhammad Asraf Mohamed Akhir, Haresh Prakash Somiah dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Tertuduh yang tiba di mahkamah bersama isterinya selaku penjamin memakai baju kemeja hitam putih kira-kira pukul 8.30 pagi.

Mengikut kertas pertuduhan bagi kes pertama, beliau pada 10 Julai 2021 telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM250,000 dalam akaun milik peguamnya, Norizan & Associates.

Pertuduhan kedua pula, beliau pada 17 Julai 2021 telah memberi arahan kepada peguamnya, Norizan & Associates untuk memindahkan wang berjumlah RM200,000 ke akaun Intan Jusmira Jamaluddin.

Bagi tuduhan ketiga, Mohamad Madani pada 6 September 2021 telah menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1 juta bagi pembelian Islamic Redeemable Preferance Shares Class F.

Tuduhan keempat pula, beliau pada 14 Oktober 2021 mengulangi perbuatan yang sama pada 10 Julai 2021 iaitu memindahkan wang dari akaun peguamnya sebanyak RM105,000 ke akaun bank milik Asyraf Hazwan Uzer.

Manakala tuduhan seterusnya, kejadian berlaku pada 20 Oktober 2021 iaitu pembelian saham berjumlah RM2 juta, 16 November 2021 pindahan RM80,000 dari akaun peguamnya kepada Asyraf Hazwan Uzer dan 17 November 2021 juga pindahan wang sebanyak RM130,000 kepada syarikat Arrowtech Ventures Sdn. Bhd.

Pada 21 Januari 2022, pemindahan wang sebanyak RM170,000 dari akaun peguamnya kepada akaun Luqman Iswatt & Partners dan terakhir pada 21 Februari 2022 pemindahan wang berjumlah RM65,000 dari akaun peguamnya kepada Luqman Iswatt & Partners.

Bagi semua sembilan pertuduhan itu, Mohamad Madani didakwa bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum bawah seksyen 4 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette