CYBERJAYA – Kutipan cukai tahun ini menunjukkan trend positif dengan kutipan harian mencatatkan 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.
Beliau berkata sekiranya trend positif ini kekal LHDN mampu mencapai sasaran kutipan hasil berjumlah RM176.1 bilion tahun ini atau melepasi sasaran tersebut.
“Kita berada pada tahap yang sangat memberangsangkan. Terima kasih kepada pembayar cukai yang terus mengekalkan tahap pematuhan yang baik,” katanya kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong, di sini, hari ini.
Mengenai sama ada kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus akan menjejaskan kutipan cukai, Mohd Nizom berkata ia kemungkinan akan memberi kesan secara tidak langsung namun tidak serta-merta.
“Mungkin (ada kesan) secara tidak langsung tetapi tidak secara immediate (serta-merta),” katanya.
Pada 3 Mei lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus.
Tahun lepas, LHDN mencipta sejarah meraih kutipan cukai langsung tertinggi negara sebanyak RM175.4 bilion atau peningkatan 21.75 peratus berbanding 2021.
Mohd Nizom berkata pendekatan A.E.S (awareness-kesedaran, education-pendidikan dan services-perkhidmatan) yang diperkenalkan LHDN akan diperkemaskan bagi memartabatkan cukai sebagai aset negara secara berterusan demi mempertingkatkan kepercayaan rakyat.
Beliau berkata antara hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan adalah sekiranya pendapatan negara daripada sumber cukai langsung terus meningkat, kerajaan mampu memulangkan manfaatnya kepada rakyat.
“Sudah pasti pelbagai agenda bermanfaat untuk rakyat akan dapat direalisasikan. Taraf kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat akan dapat turut diperhebat melalui pelbagai projek pembangunan hasil daripada sumber pendapatan negara yang mencukupi,” katanya. – BERNAMA