KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dua tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan sebanyak RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd., Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.
Ia dibuat sebagai dorongan untuk Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Asia Coding Centre Sdn. Bhd. untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas, di Jalan 1 Dutamas di sini pada Jun 2021.
Bagi tiga pertuduhan lagi, Choo Tiam didakwa menerima suapan RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta yang diminta dari Kim Hong seperti pertuduhan pertamanya bagi tujuan sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada beberapa tarikh berasingan antara 19 Julai hingga 30 Julai 2021 di tempat sama.
Choo Tiam didakwa melakukan keempat-empat kesalahan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta 694.
Sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Low Wei Loke, Hannah Kam Zhen Yi dan Kee Wei Loon.
Ahmad Akram dalam hujahan pendakwaannya berkata, kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin namun beliau mencadangkan RM1 juta jika mahkamah memutuskan membenarkan tertuduh diikat jamin.
Beliau turut mencadangkan beberapa syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga disenaraihitamkan dari keluar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 14 Jun depan. – MalaysiaGazette
Nak tahu. Menteri pula dapat berapa?
Budak kita ke tu..