Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sebutan kes berhubung laporan forensik perbualan di aplikasi WhatsApp antara dua ahli perniagaan dalam perbicaraan kes rasuahnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Laporan analisis forensik yang mengandungi perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.

Analisis perbualan itu akan digunakan oleh pasukan bekas Menteri Kewangan tersebut dalam pembelaan kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Hari ini, ketika prosiding, Mahkamah Sesyen di sini dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh yang dokumen berkenaan diserahkan pendakwaan kepada peguam Guan Eng pada 18 April lalu.

Ianya kemudian disahkan oleh peguam, Haijan Omar pada sebutan kes itu dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada 18 April lepas.

Sebelum ini,  Guan Eng telah memohon untuk mendapatkan laporan analisa forensik itu dan dibenarkan Azura pada 5 April lalu.

Azura kemudian membenarkan walaupun permohonan sebelum ini ditolak selepas memutuskan pembelaan berjaya menunjukkan kepada mahkamah mengapa ia perlu dan penting kepada kes pembelaan itu.

Untuk makluman, perbualan WhatsApp dalam laporan terbabit di antara Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan G. Gnanaraja adalah berhubung pembayaran wang RM2 juta melalui baucar pembayaran dan cek.

Guan Eng sedang dibicarakan dengan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau juga didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan.

Selain itu, Guan Eng itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut. -MalaysiaGazette