Mohamad menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini.

KUALA LUMPUR – Suspek kes buli membabitkan pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pengkalan Udara Kuantan Mei lalu boleh diberhentikan sekiranya didapati bersalah.

Menteri Partahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang perkhidmatan di bawah agensi berkenaan.

Menurutnya, ketika ini, pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman kes tersebut dan sebarang tindakan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Tak sepatutnya berlaku sebab ia bukan budaya kita lakukan. Tapi perkara seperti ini kadang-kadang berlaku termasuk di peringkat sekolah rendah pun ada buli.

“Kita harap perkara ini elok diberhentikan. Kalau di sekolah warden-warden cikgu dislipin, di agensi kementerian kita akan nasihatkan. Kita jangan terlibat dalam perkara yang boleh menjadikan kesalahan dalam term of services.

“Kalau berlaku dan masih berlaku dan didapati terlibat dan tak endahkan larangan, pihak services tak akan teragak-agak ambil tindakan dan boleh dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis sambutan itu timbalannya, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz; Paglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Media sebelum ini melaporkan, lima pelatih kursus TUDM mendakwa dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian terbongkar selepas keluarga seorang daripada mangsa tampil membuat laporan polis serta memuat naik ke media sosial Twitter.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan lebih 10 individu dipanggil bagi memberi keterangan bagi tujuan siasatan.

Jelasnya, selain mangsa, pihaknya juga telah memanggil dan mengambil keterangan enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes buli pelatih TUDM: Lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

1 Komen

  1. Harap pihak yg berkenaan TEGAS DAN ADIL DALAM MENANGANI PERKARA YANG SEMAKIN MENJADI-JADI SEKARANG SUPAYA IANYA TAK BERULANG KEMBALI.

Comments are closed.