Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Cita-cita murni bekas Ahli Parlimen Bangi Dr. Ong Kian Ming untuk memerangi rasuah perlu diterapkan oleh parti yang dianggotainya dahulu iaitu DAP selepas beliau beriya-iya menghalang pengampunan diraja Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemerhati politik Ravindran Devagunam secara sinis berkata, misi murni Kian Ming perlu bermula dengan rakan dalam partinya, V. Sivakumar untuk secara sukarela berehat selepas kementerian yang diterajuinya terpalit dengan rasuah.

Ravindran menegaskan, Menteri Sumber Manusia itu sewajarnya menunjukkan integriti sebenar dan tidak melanggar garis merah yang ditetapkan oleh Kian Ming.

Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga wajar bertindak secara terhormat terhadap Sivakumar.

“Pertama, cita-cita ini harus diterapkan kepada semua pemimpin yang memegang jawatan awam, tanpa mengira gabungan parti politik.

“Oleh itu, Dr. Ong, tidakkah rakan separti anda sendiri, YB Sivakumar, Menteri Sumber Manusia, harus menunjukkan integriti sebenar beliau dengan secara sukarela bercuti, sekurang-kurangnya, manakala siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya diteruskan?

“Tanpa mengira siapa perdana menteri dan ketua parti anda sendiri membenarkan bahawa beliau tidak perlu meletak jawatan atau bercuti semasa siasatan berprofil tinggi ini sedang dijalankan, bukankah menteri yang arif patut mempamerkan cita-cita asas parti anda untuk bertindak secara terhormat?” soal beliau.

Ravindran berkata, fakta kes menunjukan terdapat ‘garisan merah’ yang ditetapkan Kian Ming telah dilanggar di Kementerian Sumber Manusia.

“Fakta bahawa daripada tiga pegawai yang disoal siasat oleh SPRM adalah Setiausaha Sulit Menteri dan anak lelakinya yang masih kecil, yang dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri.

“Di bawah peraturan tadbir urus yang baik, tidakkah ini jelas melanggar garis merah mengenai konflik kepentingan dan integriti asas?” tanya Ravindran.

Dalam program ‘Keluar Sekejap’ baru-baru ini, Kian Ming mengingatkan ada batasan atau ‘red line’ yang tidak boleh dilanggar kerajaan.

Dia berkata, antaranya termasuk pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

“Dr. Ong, adalah mudah untuk terus mengupas Bossku dan kesusahannya, walaupun terdapat pelbagai pendedahan berkaitan dengan pemenjaraannya dan proses (perundangan) yang menimbulkan banyak persoalan.

“Adalah lebih baik anda mengurus ‘rumah anda’ sendiri, dan fokus kepada garis merah yang telah dilanggar oleh rakan-rakan anda sendiri sebelum mengharungi hak prerogatif istana yang termaktub dalam Perlembagaan,” tegas Ravindran.

Sementara itu Ravindran turut mencadangkan kepada Kian Ming dan DAP untuk menyokong dan memperjuangkan Akta Pembiayaan Politik.

DAP kelihatan senyap terhadap pembentukan akta berkenaan selepas menjadi kerajaan.

“Semasa anda mendakwa menegakkan cita-cita anti-rasuah, mengapa DAP tidak menyokong malah tidak memperjuangkan Akta Pembiayaan Politik, kini anda kembali sebagai sebahagian daripada Kerajaan Hari Ini?

“Ini pertama kali dicadangkan oleh pentadbiran Najib sendiri pada tahun 2016 tetapi secara ringkasnya ditentang oleh parti anda. Ia sekali lagi dibangkitkan oleh pentadbiran Tan Sri Muhiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri tetapi masih belum kelihatan,” katanya.

DAP juga kini kelihatan kehilangan naratif yang menonjol untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Parti itu sebelum ini kehadapan dalam mempromosikan naratif menangani isu kos sara hidup, inflasi atau pelaburan masuk yang berkualiti yang secara positif akan menggerakkan nadi rakyat, khususnya, mereka yang berada dalam lingkungan B40 dan bandar-bandar besar.-MalaysiaGazette