Suasana Kesemua 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya yang ingin melepaskan jawatan secara rasmi pada malam ini membatalkan hasrat itu pada saat akhir di Pejabat bekas UMNO Bahagian Kelana Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 MEI 2023.

PETALING JAYA – Kesemua 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya yang ingin melepaskan jawatan mereka secara rasmi pada malam ini membatalkan hasrat itu pada saat akhir.

Kesemua kepimpinan sayap parti itu yang menang dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 termasuk pegawai-pegawai lantikan membuat pusingan U tanpa memberi alasan munasabah.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, sayap parti itu dijadualkan membuat perjumpaan yang kemudiannya membuat pengumuman itu di pejabat bekas UMNO Bahagian Kelana Jaya, di sini jam 8.30 malam tadi.

Bagaimanapun sebaik sahaja petugas media tiba di pejabat parti itu jam 8.30 malam tadi, pintu utama masih tertutup dan berkunci, seolah-olah tidak penghuni serta sudah lama ditinggalkan.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan dakwaan kononnya sayap UMNO Bahagian Petaling Jaya lumpuh apabila 13 AJK Pergerakan Puteri UMNO kawasan itu meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Keputusan itu diambil susulan tindakan peletakan jawatan Noor Hasliza Abu Taib sebagai ketua sayap parti bahagian itu yang berkuatkuasa 3 Mei lalu.

Hasrat mereka meletakkan jawatan dibuat menerusi seorang wakilnya dalam satu rakaman klip video berdurasi 42 saat yang tular sejak Selasa lalu.

Klip video itu memaparkan seorang wanita mengaku sebagai salah seorang AJK Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya bertindak meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 8 Mei.

Susulan perkembangan itu, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang notis mahupun surat peletakan jawatan daripada Noor Hasliza sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO serta 13 Ahli jawatankuasa kawasan itu setakat ini.

Menurut Mutalif, malah Pergerakan Puteri UMNO Selangor juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Noor Hasliza secara mengejut itu.

Dalam perkembangan sama, pemangku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling, Nurulfarahshah Jamil menafikan dakwaan kononnya sayap parti itu lumpuh selepas Noor Hasliza melepaskan jawatannya.

Nurulfarahshah mengesahkan bahawa sayap UMNO itu masih berfungsi seperti biasa, kukuh dan sentiasa kekal bersama AJK Pergerakan Puteri menyokong kepimpinan Mutalif. – MalaysiaGazette