KUALA LUMPUR – Dua individu direman kerana disyaki memberi suapan bagi mengeluarkan laporan kesihatan dari sebuah klinik membabitkan dua warga asing yang masih berada di depoh tahanan di sebuah daerah di Miri, Sarawak.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek pertama wanita berusia 30-an merupakan orang tengah kepada syarikat tersebut dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari dan Mac 2020.
Beliau ditahan kira-kira pukul 8 malam dua hari yang lalu di pejabat SPRM Miri.
Manakala suspek kedua pula lelaki berusia 40-an yang juga pemilik syarikat tersebut.
Beliau ditahan pada kira-kira pukul 3 petang, semalam di pejabat SPRM Miri.
SPRM berkata, sehingga kini agensi berkenaan masih menyiasat bagaimana kedua-dua suspek berjaya mengeluarkan laporan perubatan tersebut tanpa kehadiran warga asing untuk diperiksa secara bersemuka.
Sementara itu, Majistret Mahkamah Miri, Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi mengeluarkan perintah reman dua hari kepada kedua-dua suspek. -MalaysiaGazette