KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak lapan peratus.

Agihan membabitkan hampir 8,000 pelabur itu diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS di Kota Damansara hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob, dan pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

NAFAS dalam kenyataan berkata, DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.5 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM10.2 juta bagi tempoh sama.

“DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan konsisten walaupun mengalami ketidaktentuan ekonomi dunia pasca pandemik Covid-19 dengan menguruskan dana berjumlah RM222 juta bagi tahun kewangan 2022.

“DPK turut meneroka pelbagai portfolio pelaburan baharu yang mampan serta terlibat aktif dalam langganan Saham Tawaran Permulaan Awam (IPO),” kata pertubuhan itu.

NAFAS menjelaskan, kadar dividen yang diumumkan membabitkan enam peratus dividen dan dua peratus bonus untuk pelaburan RM50, 000 pertama serta satu peratus hibah bagi Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM10.30 juta.

Gambar hiasan.

Di samping itu, bagi projek pertanian sawit dan fertigasi, stesen minyak serta sewa beli jentera, DPK turut menawarkan perkhidmatan pembiayaan dan pelaburan usahasama yang terkumpul lebih RM25 juta sejak 2013.

Tujuan DPK adalah bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir satu juta ahli peladang di seluruh negara. -MalaysiaGazette