KUALA LUMPUR – Ucapan selamat datang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kumpulan rock terkenal British Coldplay ke Malaysia disambut sinis Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Anwar mempunyai masa untuk Coldplay namun tidak mempunyai masa untuk rakyat yang mahukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara bersasar.
“Saya teruja Anwar Ibrahim bersungguh-sungguh mengucapkan selamat datang kepada Coldplay ke negara ini, dalam siri jelajah kumpulan rock itu buat konsert pada November ini.
“Lama lagi Coldplay nak datang, bukannya esok.
“Tetapi, saya lagi teruja salam rakyat #kwspbersasar yang memohon prihatin seorang Menteri Kewangan sebelum Coldplay datang KL pun, dia buat-buat tak nampak,” kata beliau di media sosial.
Wan Saiful turut sinis terhadap Perdana Menteri yang mempunyai masa terluang untuk menonton filem mengenai dirinya “Anwar: The Untold Story” di pawagam.
“Saya kagum dengan Anwar bila dia luang masa tengok filem kisah dia sendiri bersama fans club. PM kita memang betul berjiwa rakyat.
“Ada masa tengok filem tetapi tak ada masa nak dengar rintihan rakyat dan dengar solusi daripada NGO berkenaan #kwspbersasar,” katanya.
Selain itu Wan Saiful turut menyentuh komitment Kerajaan mengenai harga bahan bakar.
Beliau mendakwa, pihak kerajaan lupa mengenai komitmen untuk menurunkan harga petrol.
“Tahniah, Anwar masih lagi gagal gunakan kuasa sebagai Perdana Menteri seperti dia janjikan di pentas lakonan dulu untuk turunkan harga minyak ke paras RM1.50.
“Bila dah dapat kuasa, mungkin dia buat-buat tak nampak atau dia buat-buat lupa. Takkanlah tak bincang dengan menteri raja formula kot.
“Dulu masa zaman Datuk Seri Najib, raja formula ini bukan main lagi champion bab formula harga minyak. Agaknya, mereka kena jadi pembangkang semula kot? Kita try kalih, okay tak?” kata Wan Saiful. – MalaysiaGazette