komputer riba MRSM
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Hubungan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akrab, tidak seperti yang didakwa oleh Pas, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kedua-dua parti berkenaan menjalinkan kerjasama secara sukarela dengan sifat toleransi dan kesefahaman yang tinggi antara satu sama lain.

Ujar beliau, kedua-dua parti itu juga mengutamakan komunikasi untuk berbincang dan membuat sebarang keputusan.

“Sekarang kita mewujudkan kerjasama yang begitu akrab sekali, sebab itulah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan. Kita memulakan langkah kita dengan memeterai perjanjian dan bagi memastikan ia sentiasa dipenuhi dan dipatuhi kita adakan Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang di bawahnya ada jawatankuasa-jawatankuasa.

“Kata kunci utama adalah komunikasi, ia penting. Ia melahirkan kesefahaman, sifat toleransi, hormat-menghormati dan ini diterjemahkan dalam kerjasama yang ada,” katanya ketika ditemui ketika sesi raptai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Semalam Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba menutup kelemahan di antara BN dan PH dengan mengatakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertahan lama.

Mengulas lanjut Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan optimis, konvensyen yang akan berlangsung esok merupakan terjemahan kerjasama baik di antara kedua-dua parti berkenaan dan yang lain demi mewujudkan kestabilan negara berlandaskan aspirasi rakyat.

“Biarlah kerjasama ini berlaku secara organik, sukarela tanpa dipaksa. Saya percaya sebab itulah konvensyen yang kita adakan esok adalah demi rakyat Malaysia, rakyat mendambakan kestabilan, kemakmuran yang hanya akan lahir sekiranya politik stabil.

“Insyallah dengan komitmen dan iltizam yang bakal dipaterikan lagi sebagai sebuah tekad daripada kepimpinan disaksikan jutaan rakyat esok, mudah-mudahan akan memberikan natijah yang positif dan konstruktif untuk negara kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette