Mohamad menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea, Chung Hwang-Keun di Putrajaya pafa 12 Mei 2023. Foto Facebook Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Korea Selatan akan memperkukuh kerjasama dan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan memeterai Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertanian selaras dengan sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur tahun ini.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik dan peluang perniagaan serta cadangan kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan dan inovasi teknologi pertanian untuk menangani cabaran sektor pertanian.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea, Chung Hwang-Keun di Putrajaya, yang juga pertemuan pertama bagi kedua-dua pemimpin itu.

Menurut KPKM, Republik Korea adalah rakan dagang Malaysia yang sentiasa bergiat aktif dalam memperkukuh hubungan perdagangan pertaniannya.

“Bagi tempoh 2020 hingga 2022, nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara menunjukkan pencapaian yang progresif dan positif iaitu mencatat peningkatan sebanyak RM1.0 bilion setiap tahun,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini turut dihadiri ketua setiausaha KPKM dan pegawai kanan KPKM serta ketua pengarah dan wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast