ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalahnya selepas berpesta gol membelasah Kelantan United FC 6-0 dalam aksi ke 10 Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Pasukan Harimau Selatan membuka tirai jaringan menerusi tendangan jarak jauh pemain sensasi Bergson Da Silva seawal minit kelapan.
Fernando Forestieri tidak ketinggalan menghadiahkan jaringan kedua pada minit ke-22 setelah menerima hantaran daripada Leandro Velasquez.
JDT mempunyai banyak peluang untuk menambah jaringan pada separuh masa pertama, namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol Ahmad Asyraaf Omar yang bertungkus lumus menyelamatkan gawang Kelantan United.
Bagaimanapun, Bergson sekali lagi menunjukkan kelincahannya apabila dengan mudah membolosi gawang Kelantan United pada minit ke-61 hasil sepakan lambung.
Kesilapan Ahmad Asyraaf yang menjatuhkan Fernando Forestieri menyaksikan Kelantan United dihukum tendangan penalti yang disudahi Bergson pada minit ke-69, sekali gus mencetak gol keempat.
Malang terus menimpa pasukan pelawat apabila pengadil Ahmad Zuhadi Dzulkifli sekali lagi menghadiahkan penalti setelah Bergson dijatuhkan Muhammad Fauzan Mohd Fauzi yang disempurnakan Leandro pada minit ke-76.
Skuad kendalian Esteban Solari menamatkan perlawanan dengan jaringan keenam menerusi Fernando pada masa kecederaan di akhir perlawanan.- BERNAMA