Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama ketika hadir pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 MEI 2023.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbual bersama ketika hadir pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal memerintah Putrajaya sehingga Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia berdasarkan kepada sokongan parti-parti gabungan itu khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk juga kerajaan bersama.

“Saya yakin jika kita sederap membantu (Datuk Seri) Anwar, saya yakin idealisme diterjemah dalam dasar yang baik, Kerajaan Madani pasti melepasi PRU16.

“Jangan menoleh ke belakang, di sana ada orang tidak suka dengan kita, ada orang kritik kita. Pedulikan soal itu, rakyat mahu Kerajaan Perpaduan ini maju ke hadapan demi rakyat,” katanya dalam ucapan pemimpin utama sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata, isyarat itu dilihat semasa lawatan beliau bersama-sama Anwar dalam siri majlis rumah terbuka yang dibuat di beberapa negeri sebelum ini.

Hadir dalam konvensyen julung kali Kerajaan Perpaduan itu adalah Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; pengerusi parti Gabungan Rakyat Sarawak (GRS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO dan BN memilih untuk bekerjasama dengan PH disebabkan kepada mudarat kecil berbanding kerjasama dengan gabungan lain.

“UMNO dan BN biar pun 30 kerusi Parlimen, kami adalah pelengkap jika PH ada 82 tanpa yang 30 tidak ada Kerajaan Perpaduan.

“Yang kami fikir bukan kepentingan tetapi kita fikir tentang mudarat, mana mudarat lebih besar dengan pihak sana (PN) atau sini (PH) tapi kami ambil keputusan mudarat kecil adalah dengan Datuk Seri (Anwar) dan mudarat itu menjadi keberuntungan kepada rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar  menyaksikan gabungan beberapa parti politik bagi membentuk kerajaan campuran antaranya PH, UMNO-BN, GRS dan GPS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Zahid Zahid…
    sampai MEMBAYANG dan TERBAYANG-BAYANG tempoh kerajaan MADANON.
    ulang berkali-kali… nak sedapkan badan ke? macam dah dekat je Allah uji….
    goodbye Zahid

Comments are closed.