Kira-kira 4,000 nelayan dan NGO berkumpul bagi membantah projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang (PSI) di Sungai Batu, Pulau Pinang hari ini.

TELUK KUMBAR – Bantahan pembinaan Projek Selatan Pulau Pinang (PSI) akan digiatkan sehingga kerajaan memuktamadkan untuk membatalkannya.

Gesaan itu disuarakan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara), Ibrahim Che Ros berkata, ia bagi memastikan keterjaminan sumber makanan serta kebajikan nelayan terbela.

Ibrahim.

“Kita gesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pembatalan sepenuhnya bukan untuk mengecilkan pembinaan pulau itu.

“Permintaan ini dibuat atas beberapa faktor yang munasabah kerana projek ini bukan saja akan menjejaskan pendapatan nelayan malah akan memusnahkan ekosistem.

“Mungkin ada yang berpendapat pembiakan ikan atau bot yang diberikan akan mampu menjana pendapatan lebih bagi nelayan tapi semua itu hanya omong kosong kerana kesan sengsara nelayan terbukti dengan tambahan di Tanjung Tokong serta Jelutong,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Ibrahim, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum berkenaan bantahan PSI kepada Perdana Menteri di Parlimen pada sidang akan datang.

Ribuan nelayan dan NGO mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan Projek PSI di negeri ini.

Terdahulu, kira-kira 4,000 ahli Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) serta wakil nelayan dari Kedah dan Perak menyertai himpunan membantah projek PSI di Sungai Batu di sini hari ini.

Selain mereka, perhimpunan aman selama hampir dua jam itu turut disertai ahli-ahli 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar mendakwa hampir 50 peratus kawasan pembiakan ikan dan udang akan terkesan sekiranya pembuatan pulau jadian dikenali sebagai Pulau Silikon masih diteruskan kerajaan negeri.

Arshad.

Kata beliau, kawasan itu meliputi Gertak Sanggul sehingga ke Permatang Damar Laut sekali gus menjelaskan pendapatan nelayan di negeri ini serta Kedah dan Utara Perak.

“Meskipun skop projek PSI dikecilkan kepada satu pulau namun lokasi itu merupakan kawasan berteluk paling luas di negeri ini.

“Keadaan ini berbeza dengan Teluk Bahang yang selain kawasan teluknya lebih kecil ia terdedah tiupan angin Barat Daya menyebabkan ombak bergulung,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan keputusan mengecilkan projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dengan mengurangkan kepada satu pulau.

Ribuan nelayan dan NGO mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pembinaan Projek PSI di negeri ini.

Kata beliau, ia selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula termasuk memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek berkenaan.

Kon Yeow berkata, PSI secara keseluruhan dikecilkan sebanyak 49 peratus yang mana sebelum ini 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar. – MalaysiaGazette