KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil pada peringkat pusat demi keselamatan dan kemajuan di negeri itu.
Pengerusi GPS, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Openg bertegas, terdapat dua isu yang menyebabkan kerajaan negeri memerlukan Kerajaan Persekutuan yang dikuat ditunjangi Kerajaan Perpaduan.
Isu pertama, menurut beliau, berkaitan dengan kedudukan Beting Patinggi Ali.
Manakala isu kedua berkaitan kemajuan pesat yang dicatatkan negara jiran Indonesia di Kalimantan.
“Kedudukan kerajaan yang mesti melihat masa depan negara Malaysia. Kita berhadapan dengan banyak cabaran. Kalau di Sarawak kita ada cabaran (Beting) Patinggi Ali.
“Kita juga bersaingan dengan rakan negara jiran sebab itu kalau jiran kita membangun Malaysia harus membangun.
“Kami Sarawak berhadapan dengan Kalimantan, Nusantara akan ditempatkan apakan kita di Malaysia, hanya melihat?” soalnya.
Abang Johari berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan peruntukan besar kepada negeri itu untuk keselamatan sempadan.
“Biarlah terbentuk itu tahapnya setimpal dengan intercom di Kalimantan. Jangan kita di belakang, Kalimantan pula di hadapan. Terima kasih Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak akan memainkan peranan dalam membangunkan ekonomi.
Justeru ke arah negara yang mempunyai ekonomi mampan berasaskan keupayaan anak negeri, GPS, katanya, akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
“GPS akan terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mengangkat martabat Malaysia dan membangunkan negara Malaysia yang kita cintai,” tegasnya. – MalaysiaGazette