Rosli Abdul Jabar

KUANTAN – Pas Pahang tidak akan membiarkan isu peruntukan daripada kerajaan menghalang khidmat mereka kepada rakyat di negeri itu.

Menurut Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, meskipun kerajaan negeri enggan memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang – ia bukan suatu halangan buat mereka untuk berkhidmat.

“Pada hari terakhir sewaktu pengulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menjelaskan bahawa tiada mana-mana kerajaan yang akan memberikan peruntukan yang sama dengan pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, katanya, dalam kenyataannya hari ini, beliau memetik Titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Katanya, tafsiran Wan Rosdy terhadap titah diraja terbabit tidak sama seperti yang ditafsirkan pihak pembangkang.

“Apa yang kami faham dari titah ucapan tersebut ialah peruntukan tetap yang telah diberikan kepada ADUN kerajaan turut diberikan kepada ADUN pembangkang.

“Tafsiran kami dan tafsiran Menteri Besar Pahang tidak sama, maka terpulangkan kepada Menteri Besar untuk mentafsirkan titah ucapan tersebut mengikut apa yang beliau fahami,” ulasnya.

Isu peruntukan kepada blok pembangkang menjadi antara topik panas perbahasan dalam sidang DUN yang berlangsung selama lima hari pada minggu lalu.

Dalam sesi penggulungan Jumaat lalu, Wan Rosdy  memberitahu kerajaan negeri bersedia memberi peruntukan kepada pembangkang selepas perkara itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

Selain itu, katanya, sumbangan lain turut disalurkan ke kawasan DUN pembangkang seperti bantuan persekolahan dan bantuan kepada rakyat sempena ramadan sebanyak RM5,000 yang diberikan melalui semua ADUN pembangkang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast