Gambar hiasan.

ISU tidak menyambung pelajaran, tidak berminat dengan pekerjaan formal, terlalu memilih pekerjaan dan peningkatan pengangguran adalah contoh bahawa ramai orang dewasa atau yang mempunyai banyak pengalaman masih memegang stereotaip negatif tentang persepsi dan keupayaan belia.

Kita mengakui bahawa penonjolan bakat dan potensi golongan belia mempunyai keupayaan yang besar dan mampu menguntungkan banyak pihak. Namun, kita kurang memahami 3 teras dalam menyantuni belia iaitu mendengar suara mereka, mengiktiraf peranan mereka dan segera menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Dalam konteks ini, seruan yang berterusan kepada semua agensi kerajaan yang berurusan dengan golongan belia untuk mengkaji semula pendekatan mereka. Janganlah bersifat menghakim dan menghukum. Kerajaan sewajarnya perlu cuba memahami apakah cita rasa golongan muda. Ianya hendaklah lebih akomodatif dan prihatin kepada citra anak muda.

Turunlah padang dan dengarlah suara-suara belia akar umbi dan tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan agensi terlibat. Dalam melaksanakan sebarang program pula, berundinglah dengan kumpulan sasar iaitu golongan belia agar aktiviti-aktiviti yang dijalankan nanti lebih menepati warna dan sentuhan jiwa golongan muda.

Dewasa ini pula, Malaysia berhadapan dengan cabaran besar selepas era Pandemik Covid-19. Ada satu persoalan besar yang harus difikirkan oleh generasi muda hari ini iaitu adakah mereka sudah bersedia kembali bangkit untuk kesejahteraan sosial dan ekonomi bersama? Inilah persoalan yang harus difikirkan oleh generasi muda hari ini jika mahu melihat kejayaan Malaysia lebih cemerlang lagi.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tempoh waktu yang lebih mencabar dan berdaya saing. Bagi menghadapi keadaan ini, kita dapat melihat kerajaan akan terus membina satu strategi gerakan yang lebih mantap, kemas kini dan berfikiran futuristik iaitu melihat cabaran dan kedudukan masa depan negara dengan lebih jauh lagi iaitu untuk mengembalikan Malaysia
sebagai negara di segani sesegera yang boleh.

Golongan belia perlu faham yang dimaksudkan dengan maju itu bukanlah semata-mata maju dalam bidang ekonomi tetapi merangkumi bidang politik, sosial, Pendidikan, latihan dan kebudayaan. Anak muda perlu berani menukar falsafah perjuangan dengan meletakkan pemikiran yang positif dan mewujudkan identiti bangsa Malaysia yang lebih dinamik dan progresif.

Untuk mencapai cita-cita ini, ia memerlukan golongan belia yang bersatu padu, saling faham memahami di antara satu dengan yang lain, komited dan berjiwa patriotik serta sanggup berkorban untuk kemajuan negara. Jika kita ingi n melihat negara kita maju, golongan belia di Malaysia mesti berani dan mempunyai daya kesungguhan untuk membuat perubahan daripada segi sikap, cara hidup dan cara berfikir.

Sistem kepercayaan yang menjadi khayalan dan berunsur negatif perlu dikikis tetapi nilai-nilai yang positif yang telah diamalkan oleh golongan belia, perlu diperkukuhkan seperti kesukarelaan, gotong royong dan bermuafakat.

Oleh itu, kerajaan perlulah memberi penumpuan dalam melaksanakan program-program untuk membina masyarakat belia ke arah sikap yang positif dan seterusnya melahirkan anak muda yang mempunyai nilai-nilai keperibadian yang mulia dan berhemah tinggi yang akan melambangkan budaya dan identiti bangsa Malaysia yang bermaruah.

Kita perlu bersetuju secara total bahawa maju jayanya generasi muda itu bergantung besar kepada sistem nilai yang diamalkan. Kalau sistem nilai itu baik, maka berjayalah anak muda itu, sebaliknya kalau sistem nilai itu tidak sesuai, maka anak muda itu tidak akan berjaya walaupun mereka itu pandai atau kuat.

Dalam menghadapi dunia yang penuh mencabar ini, sudah sampailah masanya generasi muda hari ini perlu kurangkan berfalsafah atau berteori semata-mata, tetapi haruslah mengambil sikap yang lebih matang dan “action-oriented” supaya tindak tanduk itu selari dengan kehendak pembangunan negara.

Dengan berfikiran secara begini, akan lahirlah satu generasi yang kreatif dan berani membuat perubahan dan pembaharuan demi kepentingan bangsa dan negara. Bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam bidang perindustrian khususnya, kerajaan perlu segera menggerakkan perancangan yang teratur dalam menyediakan sumber manusia yang dinamik, mahir dan komited. Model ekonomi yang berasaskan kreativiti dan inovasi telah lama di wujudkan kerajaan.

Maka, golongan belia di tuntut agar pantas merebut peluang dalam Pendidikan dan bidang latihan yang bertahap tinggi sejajar dengan perkembangan teknologi moden. Bagi memastikan kejayaan, warga belia perlu mendakap konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan bersedia untuk “upskilling, reskilling dan cross-skilling” ilmu pengetahuan serta kemahiran secara berterusan.

Di pihak kerajaan hendaklah konsisten dan tidak akan berdikit dalam iltizam mempersiap-siagakan warga belia dengan peluang-peluang untuk menggarap ilmu dan kemahiran dengan secukupnya agar mereka “not only survive but thrive in this new economy”. Dalam konteks membangunkan belia, kerajaan tidak harus meminimumkan dan melupakan peranan pemegang taruh yang juga rakan kongsi kerajaan iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan-pertubuhan yang ada di negara ini, yang memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai belia berpartisipasi dalam membangunkan
negara.

Kerajaan perlu ada keyakinan melalui aktiviti pertubuhan belia, ia akan lebih terkawal di samping dapat mewujudkan semangat integrasi di kalangan mereka. Melalui pertubuhan belia juga akan mudah untuk merencana dan melaksanakan program-program yang berfaedah.

Bagaimana pun, meletakkan tanggungjawab membangunkan belia di bahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bukan satu pemahaman yang betul. Ini kerana pembangunan belia itu merentasi kementerian, jabatan dan agensi serta swasta.

Jika pendekatan merentas pelbagai platform ini di realisasikan dengan konsisten, kita akan berasa bangga terhadap kesan yang boleh dihasilkan oleh pertubuhan-pertubuhan belia di mana telah dapat membantu melahirkan pemimpin-pemimpin yang berpotensi yang akan mengambil alih teraju pucuk pimpinan negara di masa-masa akan datang. Oleh hal yang demikian, pemimpin-pemimpin muda haruslah mempertingkatkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan berfikiran matang.

Di samping itu peringatan dan bimbingan kepada pemimpin-pemimpin belia hendaklah secara berterusan supaya peka terhadap perkembangan dunia hari ini, kerana kita tidak mahu pertubuhan-pertubuhan belia dijadikan alat untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara. Ini penting agar pemimpin belia kita faham bahawa seorang belia itu bertindak demi
kebenaran dan keadilan!

Selamat Hari Belia Negara Tahun 2023

Oleh: Mohammad Rizan Hassan
Mantan Tokoh Belia Negara/ASEAN
Tahun 2011

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast