Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap kerajaan meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya berharap kerajaan meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara dengan mempertimbangkan pelbagai sudut dan segala aspek, khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, PGSM berharap kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangunkan Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan serta ihsan.

“PGSM berpandangan bahawa tindakan menarik balik rayuan tersebut boleh menggugat tonggak dasar pertama; kedua dan keempat iaitu kemampanan, kesejahteraan dan hormat, kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan dan keseimbangan masyakarat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

“PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan yang dibuat oleh kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri-negeri khususnya undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu.

“Ia termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh dewan undangan negeri dan diperkenan oleh sultan-sultan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa sultan-sultan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Musa mengulas mengenai isu yang tular dalam media sosial bahawa Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 telah membenarkan penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

Beliau menambah, sekiranya perkara yang ditularkan itu benar, PGSM melahirkan dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa kerajaan memberi penjelasan penuh.

Musa memberitahu, perkara itu secara langsung akan menjejaskan maslahah dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.

“PGSM juga berharap kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast