Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan tidak ada perkara baru dalam kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan Jumaat lalu  selain mengesahkan apa yang diumumkan kerajaan sebelumnya.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman Anwar berkaitan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang, Tebatan Banjir di Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1, 2 dan 3 serta beberapa pembinaan lebuh raya sememangnya dalam perancangan kerajaan sejak Perikatan Nasional (PN).

Kata bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu, pengumuman itu juga mengesahkan apa yang telah dirangsang oleh kerajaan sebelumnya adalah tepat dan berjalan mengikut prosedur yang betul.

“Saya secara peribadi menyambut baik pengumuman itu bagi menyegerakan infrastruktur air di Kelantan kerana ia telah dirancang lama sebelum ini dan ia adalah langkah penyelesaian total masalah air di Kelantan dan Sabah.

“Namun projek sumber air seperti pembinaan TAPS, empangan, barrage adalah geran persekutuan kepada negeri sebagaimana Empangan Mengkuang di Pulau Pinang, penyaluran air Pahang ke Selangor dan lainnya.

“Kita harap ia dilaksanakan segera kerana Kelantan antara negeri terawal menandatangani migrasi dengan kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan telah mengambil pendirian untuk menangani masalah berkaitan bekalan air untuk pengguna di Kelantan dan perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, beliau telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berhubung perkara itu.

Malah beliau juga telah mempersembahkan ‘hasrat’ itu pada sesi menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kelantan di Kubang Kerian.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang penting ialah meletakkan keutamaan kepada keperluan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan menyegerakan sesuatu projek bagi mengelak bencana yang lebih besar dan kerugian seperti banjir, hakisan pantai serta bencana akibat perubahan iklim. – MalaysiaGazette