SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya perlu mempunyai anjakan terutama mengenai tata kelola pentadbiran, penguatkuasaan membanteras rasuah dan ketirisan.
Selain itu, kerajaan perlu sentiasa menambah baik prestasi perkhidmatan kepada rakyat, kata Perdana Menteri.
Menurutnya, selain memacu pertumbuhan ekonomi, kerajaan mestilah menjamin adanya pengagihan yang adil.
“Sebab itu selalu dalam Jemaah Menteri saya tegur supaya diperbaiki, pasti ada jalannya. (Ini termasuk) seperti (sistem) di lapangan terbang dan di sempadan negara.
“Tadi, kita ada bincang (dalam mesyuarat) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa soal penyeludupan masih tinggi, hilang (ketirisan minyak diesel bersubsidi) minyak diesel adalah RM10 bilion setahun.
“Jumlah (kehilangan) ini boleh bina universiti, boleh baiki rumah penginapan polis, tentera, penjara sebab itu saya minta kepada badan penguatkuasaan kena berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahmad Zahid, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.
Anwar menegaskan, apabila beliau menegur tidak bermakna tiada kebaikan yang sudah dilaksanakan kerana selama ini negara aman dan institusi berjalan dengan baik berbanding di beberapa negara.
“Tetapi, tentunya kita sebagai manusia, rumusan satu maksud hadis Nabi Muhammad SAW, maknanya mesti ada hasrat keinginan cuba untuk sedaya mungkin untuk cemerlang.
“Manusia ini mesti ada niat perubahan kepada kebaikan dengan sebaik mungkin. Cari jalan untuk perbaiki.
“Kalau kita bagi laporan dalam mesyuarat-mesyuarat atau taklimat itu ini dah prestasi baik, ya ada benarnya itu yang dah baik.
“Tetapi mustahil Allah SWT jadikan manusia ini yang tidak boleh tingkatkan mutu kebaikannya. Sebab itu apabila disebut rahmah, saya ingat antara hadis utama ditekankan dalam Islam bukanlah soal hukum orang, bukan soal gantung, bukan soal dera,” ujarnya.
Beliau berkata, apa yang utama ditekankan di dalam agama Islam bagi manusia adalah tunjuk kasih sayang kepada yang di bumi nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat ke atas kamu.
“Jadi, apa lagi dalam bidang tugas kita kepada manusia, kepada muslim, kepada yang bukan muslim, kepada haiwan, kepada tumbuh-tumbuhan, kepada bumi… kenalah tunjuk kasih sayang kamu.
“Hidup sekitar itu sahaja… dalam politik, dalam kerjaya kita semua, pihak penguatkuasaan seperti imigresen, penjara, polis. Itu sahaja kita minta iaitu jalankan tugas dengan baik dengan sentiasa meningkatkan prestasi,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat MTEN beliau membangkitkan bahawa adalah mustahil kepada kerajaan baru yang pendekatan baru madani tetapi tidak ada anjakan.
“Orang tengok tidak ada perubahan, sama sahaja. Tukar kerajaan tukar Perdana Menteri, bocor (ketirisan) banyak itu juga, rasuah ramai juga, yang sakau jadi amalan.
“Siapa jadi Perdana Menteri dia kaya, siapa jadi Menteri Kewangan dia lagi kaya… jadi kita kena hentikan. Saya tak peduli, bab ini saya akan lawan habis-habisan.
“Saya minta bagi kerjasama yang sebaiknya (kepada semua kakitangan KDN dan agensinya). Terima kasih atas semua sumbangan dan khidmat. Ada yang tak ternama, tak terukir, tiada berita tetapi khidmat saudara tetap kita akui dan hargai. Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah,” tambahnya. – MalaysiaGazette