MELAKA – Seorang bapa tiri dijatuhi hukuman 263 tahun penjara dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 32 pertuduhan iaitu merogol, melakukan amang seksual dan seks menggunakan objek terhadap anak tiri perempuan sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Lelaki yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 35 tahun apabila hukuman diarahkan berjalan serentak secara berperingkat mengikut pertuduhan.
Terdahulu, dalam kedua-dua prosiding, tertuduh mengaku bersalah atas semua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Lelaki itu turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.
Semua perbuatan itu dilakukan terhadap seorang remaja perempuan berusia yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 di sebuah rumah di Taman Maju Jasin.
Seksyen 376 (1) KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.
Manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.
Video Berkaitan
Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK pula jika, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, N. Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim dalam hujahan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan melibatkan anak tirinya yang kini mengalami trauma dan mengalami kebimbangan melampau akibat perbuatannya.
Dalam hujah pemberatan hukuman pihak pendakwaan yang membacakan keterangan impak mangsa, mangsa mengakui perisitiwa hitam menjadi pemuas nafsu bapa tiri yang dilalui hampir setiap hari sejak Januari 2020 ketika berusia 13 tahun membuatkannya berasa perit dan jijik pada diri sendiri.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan ditemani isteri dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil, isteri yang tidak bekerja selain perlu menjaga ayahnya yang sakit.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman 263 tahun penjara dan 20 sebatan bagi semua 32 pertuduhan.
Bagaimanapun hakim menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak secara berperingkat menjadikan tempoh penjara selama 35 tahun.
MalaysiaGazette pada 9 April lalu melaporkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan yang juga anak tiri kepada lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Sebelum ini media melaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Jasin namun berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette