Anwar Ibrahim (kiri) dan Rafizi Ramli pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperluaskan pemberian subsidi diesel kepada sektor pengangkutan darat (barangan) menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengurusan pengedaran barangan menggunakan diesel bersubsidi demi menangani ketirisan dan penyeludupan diesel.

“Tumpuan kerajaan yang seterusnya ialah untuk menambah baik sistem subsidi diesel yang menyaksikan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion bagi tahun 2022.

“Peningkatan mendadak penggunaan diesel berbanding jumlah kenderaan diesel membayangkan ketirisan melalui penyeludupan yang perlu ditangani segera,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Anwar berkata, kerajaan mendapati penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022.

Ujarnya, peningkatan berkenaan dilihat tidak seimbang apabila jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus (dari 2.08 juta dalam tahun 2019 ke 2.13 juta dalam tahun 2022).

Sementara itu beliau berkata, mesyuarat MTEN hari ini bersetuju untuk mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memudahkan maklumat tentang sosio ekonomi rakyat dala usaha memudahkan penggubalan dasar negara.

Tambahnya, PADU akan menjadi pangkalan utama agensi-agensi kerajaan lain.

“Tetapi kita tahu ada kekurangannya yang lengkap kerana tidak ada penyelerasan di antara agensi berkait. Jadi PADU menggabungkan sebanyak mungkin maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar dan mensasar bantuan,” katanya.-MalaysiaGazette