KANGAR – Seramai 140 penumpang dan kru sebuah feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas hampir lima jam akibat kipas tersangkut pada tali hanyut kira-kira 8 malam tadi.
Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) feri tersebut terkandas kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis.
“Aset APMM sudah dikerah ke lokasi kejadian bagi memantau kerja menunda yang dilakukan oleh syarikat feri berkenaan dan semua penumpang selamat tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada 12.20 tengah malam tadi,” katanya ketika dihubungi pemberita malam tadi.
Sementara itu Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom ketika dihubungi berkata, feri itu terkandas ketika perjalanan berbaki hanya 0.9 kilometer.
“Kipas feri berkenaan tersangkut tali yang dipercayai hanyut di perairan berkenaan menyebabkan perjalanannya tergendala dan kami telah menghantar bot penunda dan semuanya selamat,” katanya. – BERNAMA