KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yakin KDN akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mengambil maklum pendirian KDN dalam menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu.
“Dalam titah itu, baginda menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Kita juga akan sentiasa menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor untuk menjaga kemuliaan serta kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Dr. Mohd Na’im menasihatkan orang ramai agar bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu berkenaan.
Ini kerana, kata beliau, ia berkaitan isu teknikal perundangan, di samping mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama. – MalaysiaGazette