KPKT
Nga Kor Ming

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dikaji bagi membolehkan jumlah kompaun dinaikkan dan membuat pendakwaan di mahkamah terhadap pihak yang menyalahgunakan pili bomba.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kini hukuman yang dilaksanakan terhadap pelaku kesalahan itu adalah ringan sehingga kesalahan berkenaan dipandang remeh.

“Kompaun itu jumlahnya memang kecil tapi mesejnya jelas jangan curi air pili bomba tanpa kebenaran. Saya hantar mesej ini kepada semua.

“Jadi saya mengkaji untuk tingkatkan jumlah kompaun, RM100 hingga RM500 dipandang terlalu ringan kita akan kaji perkara ini,” katanya pada majlis Apresiasi Kecemerlanvan KPKT 2022, di Pusat Konvensyen MBSA, hari ini.

Jabatan Bomba dilaporkan mengeluarkan kompaun RM100 terhadap individu yang menyalahgunakan pili bomba dalam satu kejadian di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Bahagian Pengurusan Korporat Bomba dalam satu kenyataan berkata, tindakan terbabit diambil Ketua Balai Bomba Rantau Panjang mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalahgunakan pili bomba.

Difahamkan individu yang dikenakan tindakan tersebut ada kaitan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff yang sebelum ini dituduh mencuri air dari pili bomba.

Zailah sebelum ini menafikan dakwaan mencuri air dari pili bomba, sebaliknya menegaskan mendapat kebenaran mengambil air dari sumber itu untuk diagihkan kepada penduduk yang terputus bekalan air.

Katanya, beliau memaklumkan kepada Balai Bomba Rantau Panjang dan mendapat bantuan dari anggota bomba yang membantunya membuka pili serta menyalurkan air ke dalam lori.

Sementara itu, Kor Ming mengingatkan semua pihak, khususnya kontraktor yang diupah, tidak menghantar bekalan air.

Beliau berkata, meskipun mendapat arahan daripada pihak lain namun tindakan tersebut perlu dipastikan tidak menyalahi undang-undang.

“Mengikut akta, hanya pelaku akan dikenakan kompaun maka kontraktor tidak puas hati bolehlah tuntut duit kepada Ahli Parlimen Pas itu. Dia memang diupah buat kerja saya rasa bersimpati dengan kontraktor itu.

“Kontraktor kalau ambil upah kena ambil kerja, dipastikan tidak halal. Jangan buat kerja yang haram. Kontraktor mesti tahu batas undang-undang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast