KUALA SELANGOR – Proklamasi Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan untuk mengulangi kegagalan Kongres Maruah Melayu dalam menyatupadukan orang Melayu di negara ini.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, ia adalah kesinambungan daripada kejayaan kongres itu yang berjaya menghimpunkan pemimpin Melayu termasuk Bersatu, UMNO dan Pas semasa pasca PRU14, Oktober 2019.
“Ia adalah kesinambungan itu, kita menggerakkan Proklamasi Melayu di bawah sekretariat di mana sebahagian mereka juga terlibat dalam Kongres Maruah Melayu.
“Kongres Maruah Melayu bagi saya tak gagal, Kongres Melayu telah mencapai dan sepakat untuk penyatuan orang Melayu.
“Oleh kerana kita melihat situasi yang berlaku, maka perlu kita mencari satu pendekatan supaya orang Melayu itu berada dalam satu, bukan lagi berpecah seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Pada 3 Mei lalu, media melaporkan beberapa pemimpin Pas termasuk presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu’ diterajui Dr Mahathir.
Ia menimbulkan spekulasi dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) bakal berpecah susulan pembabitan ahli Parlimen Pas dengan proklamasi terbabit, selain ia didakwa usaha memancing undi Melayu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Marzuki menafikan kononnya Proklamasi Melayu itu kini digerakkan di bawah PN bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Maka sebab itu kita menggalakkan supaya Proklamasi ini merentasi parti politik.
“Proklamasi tidak bergerak di bawah PN, kita tak terlibat dengan mana-mana parti politik,” katanya. – MalaysiaGazette
Hahahaha mamat ni… dh nak tiba musim pilihanraya muncul kembali utk memperjuangkan nasib bangsa. Abis pilihanraya masuk gua balik.