KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama bukan Islam, pada Isnin, mendapat perharian rakyat.
Tinjauan MalaysiaGazette di ibu kota hari ini mendapati rata-rata yang ditemui tidak bersetuju dengan keputusan menerusi notis pemberhentian tersebut yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu.
Bagi Shafirul Mat Tahar, 33, beliau menyifatkan penarikan balik itu tidak wajar dilakukan, malah turut mempersoalkan tindakan kerajaan dalam perkara itu.
“Meremang bulu roma bila dengar, setiap tuhan dalam agama masing-masing ada nama dan panggilan tersendiri, kenapa nak guna Allah juga?
“Mereka ada Jesus, ada God, mereka yang beragama Hindu ada Dewa dan Dewi. Bahasa umum ada perkataan tuhan, mengapa mereka nak guna (kalimah) Allah? Sedangkan kita tahu Allah itu tunggal, tiada dua tiada tiga sebab Dia Wahid, Ahad, satu sahaja.
“Kalau kita beri dekat mereka perkataan Allah yang besar bagi kita yang Muslim ini, di mana kita nak letak agama kita?,” katanya.
Katanya, penarikan itu juga dikhuatiri boleh mengundang implikasi buruk kepada generasi Muslim pada masa depan apabila penggunaan kalimah Allah itu disamakan dengan terma tuhan lain.
Dalam pada itu, Rogayah Noor Hussain, 68, turut melontarkan pandangan sama.
Katanya, beliau tidak bersetuju, malah berpendapat seseorang yang bukan beragama Islam hanya boleh menggunakan kalimah Allah apabila hatinya sudah terbuka untuk menerima Islam.
“Saya tak bersetuju. Kalau non-muslim (pakai kalimah Allah) itu rasa macam berat sikit, memang tidak boleh. Nanti dipermainkan pula kalimah Allah itu.
“Untuk non-muslim, kalau hati dah terbuka, bolehlah. Kalau nak belajar, bahasa rumi ada, terjemahan Al-Quran pun ada,” katanya.
Rogayah berpendapat, kerajaan perlu menetapkan penggunaan kalimah Allah hanya untuk Muslim sahaja, dan bukan untuk dikongsi pengunaannya dengan bukan Islam.
Bagi Nur Zahirah Zainuddin, 30, katanya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam itu mungkin tidak sesuai kerana ia boleh disalahgunakan dan disalah erti.
“Saya rasa tidak sesuai mungkin takut penggunaannya tidak betul, mungkin boleh disalahgunakan atau non-muslim tidak faham penggunaannya. Tak perlu sebenarnya untuk ada penerbitan non-muslim yang menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain itu.
“Kalau mereka faham, tiada masalah. Cuma takut apabila isu itu jadi buruk seperti sesuatu yang dibuang atau dipijak, lagipun, banyak lagi perkataan lain,” katanya.
Nur Zahirah turut berharap dan menggesa kerajaan untuk tidak menarik balik keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada Isnin.
Sementara itu, pada hemat Mohamad Haris Rosli, 22, katanya, darjah kalimah ‘Allah’ itu tinggi dan beliau risau tentang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragam Islam.
“Kita sebagai muslim sendiri kita mungkin tahu penggunaan dan pantang larangnya. Darjah kalimah (Allah) itu tinggi, bagi non-muslim mungkin mereka tidak tahu dan kita takut mereka gunakan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
“Antara impak yang mungkin dapat dilihat selepas ini kita akan nampak ia diletakkan di tempat lalu lalang dan rendah.
“Pada pendapat saya, kerajaan perlu fikir semula tindakan yang diambil untuk buat keputusan yang lebih tepat, dan undang-undang yang melarang penggunaan kalimah Allah bagi non-muslim,” katanya.
Tambahnya, tindakan yang diambil ini bukan hanya akan memberi persepsi yang berbeza, malah, memberi imej yang buruk kepada kerajaan sendiri.
Sebelum ini, media melaporkan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan Jill Ireland Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan sebutan Solat dalam penerbitan agama Kristian dan penggunaan orang bukan Islam.
KDN tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos. – MalaysiaGazette