JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, memberi amaran kepada sesetengah pihak yang menjadikan kenyataan baginda mengenai keadaan flat kos rendah di negeri ini sebagai isu politik.
“Ini bukan perkara baharu. Kerajaan-kerajaan sebelum ini mengetahui mengenai keadaan flat kos rendah di Johor.
“Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Johor, bertitah baginda terpaksa bersuara dan mengemukakan masalah ini kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),Nga Kor Ming kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri.
Baginda bertitah, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah, langsung tidak memuaskan mutu kerjanya terutama di flat-flat kos rendah.
“Tidak ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu politik,” tegas Baginda sambil menghargai komitmen Kor Ming yang datang mengadap baginda, kelmarin.
“Kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,” titah Sultan Johor.
Kelmarin, Sultan Johor menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Tuanku Sultan Ibrahim, bertitah kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap dan seolah-olah rakyat baginda hidup dalam ‘reban ayam’. -MalaysiaGazette