Pegawai MAQIS menunjukkan tikus salai yang dirampas pihaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam.

BAYAN LEPAS – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengagalkan cubaan seorang wanita Vietnam membawa masuk tikus salai tanpa kebenaran semalam.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, dagangan berjumlah 10 kilogram itu dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Jelas beliau, kesemua tikus salai itu dikesan ketika pemeriksaan bagasi menerusi mesin pengimbas terhadap seorang penumpang dari negara Vietnam.

Tikus salai seberat 10 kilogram itu dibawa masuk oleh penumpang Vietnam.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM1,000 itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pemeriksaan oleh pegawai MAQIS,” katanya.

Perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh di hukum mengikut Seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidakmelebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Ikram, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu berkenaan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

Kesemua tikus salai itu dirampas dengan kerjasama pihak kastam.

“Semua sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette