Safawi Rasid. Foto Ratchaburi FC.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap negara, Safawi Rasid memcetuskan persoalan apabila memberi bayangan tempoh pinjamannya bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC dalam saingan Liga 1 Thailand sejak awal tahun ini sudah berakhir.

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai 2019 itu menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya berkata, dia meraih pengalaman berharga sepanjang bersama Ratchaburi.

“Perjalanan bersama anda semua sangat hebat, terima kasih Ratchaburi,” kata Safawi.

Safawi sebelum ini dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Ratchaburi tetapi tidak didedahkan tempoh pinjaman berkenaan.

Sepanjang bersama Ratchaburi, Safawi beraksi dalam 13 perlawanan yang menyaksikan kelab itu menamatkan saingan liga di tempat kelapan musim ini.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan Safawi sudah pasti akan pulang ke pangkuan JDT beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner sebelum ini secara terbuka mengakui berminat bagi mendapatkan khidmat Safawi untuk memperkuatkan pasukan berkenaan musim depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast