KUALA LUMPUR – Filem Anwar: The untold story adalah kisah benar dan bukan rekaan, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau yang telah menonton filem itu pada 18 Mei lalu mengesahkan fakta dalam Anwar: The Untold Sory adalah berdasarkan kejadian sebenar.
Ini kerana beliau turut terlibat dalam gerakan reformasi menyokong bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut yang dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada September tahun 1998.
“Dalam lokap no.6 di Bukti Aman, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor telah menyerang Anwar Ibrahim yang matanya ditutup sehingga cedera pada muka dan matanya.
“Fakta kejadian serangan Ketua Polis Negara ketika itu terhadap Anwar Ibrahim di dalam lokap Bukti Aman adalah benar.
“Kes itu telah dibicarakan di Mahkamah Jenayah Di Kuala Lumpur. Mahkamah mendapati Tan Seri Abdul Rahim Noor, Ketua Polis Negara bersalah kerana mencederakan Anwar Ibrahim,” kata Hassan.
Beliau mempertahankan filem berkenaan selepas dikritik oleh Khairuddin Abu Hassan sebagai filem haprak berunsur propaganda bertujuan memfitnah dan mencemarkan reputasi Mahathir.
Hassan berkata, aktivis reformasi hampir 25 tahun yang lalu masih bernyawa dan menjadi saksi hidup yang mengetahui kezaliman yang dilakukan oleh regim Perdana Menteri yang keempat waktu itu.
“Kalau fakta yang saya sebut ini salah, saya jemput bekas Ketua Polis Negara, Tan Seri Abdul Rahim Noor supaya saman saya di mahkamah.
“Jadi Khairuddin Abu Hassan jangan menghina hasil kerja seni film Anwar: the Untold Story tersebut. Filem itu berdasarkan sejarah yang benar.
“Yang memualkan dan meloyakan bukannya film itu tetapi peri lalu kebinatangan pihak berkuasa dan elit berkuasa ketika itu yang bertindak zalim terhadap Anwar Ibrahim,” kata Hassan.
Dalam Twitternya, Khairuddin yang juga penyokong Mahathir berkata, beliau merasa mual dan loya selepas menyokong filem yang memaparkan kisah Perdana Menteri ke-10 itu.
Bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu turut berpendapat, filem mendapat arahan pengarah Indonesia Viva Westi tersebut mengandungi banyak fakta yang tidak tepat. – MalaysiaGazette