Muhammad Fazreen Johari

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Pulau Pinang menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan garis panduan berhubung laungan azan di surau Kondominium Tri Pinnacle, Tanjong Tokong baru-baru ni.

Ketuanya, Muhammad Fazreen Johari menegaskan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan kerajaan negeri juga perlu berbuat perkara sama bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau menjelaskan, garis panduan baharu lebih holistik perlu berdasarkan keadaan semasa berhubung isu berkenaan.

Ini katanya, isu berkenaan melibatkan sensitiviti agama Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Wira Putra Pulau Pinang kesal dengan keputusan tidak tegas, ambil mudah dan tiada pendirian jelas oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan kerajaan negeri berhubung isu laungan azan menggunakan pembesar suara.

“Walaupun isu ini dianggap selesai oleh Timbalan Ketua Menteri I tetapi masih tidak mendapat sebarang penjelasan serta penyelesaian muktamad bagi umat Islam di Pulau Pinang.

“Permohonan maaf secara terbuka bukan jaminan individu atau kumpulan berkenaan tidak akan mengulanginya atau insaf dan sedar kesalahan mereka mengganggu-gugat kedudukan agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas permohonan maaf secara terbuka Badan Pengurusan Bersama (JMB) kondominium Tri Pinnacle, Tanjong Tokong berikutan tular isu berkaitan laungan azan di surau perumahan itu baru-baru ini.

Pengerusi JMB, Alex Low dilaporkan berkata, pihaknya tidak mempunyai niat untuk melarang laungan azan di Surau Saidina Umar, Blok A Tri Pinnacle malah secara peribadi memohon maaf jika ada kata-kata dan ucapannya yang menimbulkan kemarahan mana-mana pihak.

Menurut Muhammad Fazreen, pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara sama berlaku di kawasan perumahan lain jika tidak ada garis panduan.

Kata beliau, berpertubuhan dan berpersatuan bukan lesen untuk hak di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri diperlekehkan.

Ini kerana, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan, agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.

“Segala perkara yang terkait dengan Islam, cara amalannya secara langsung dan tidak langsung dilindungi di bawah peruntukan itu.” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penang sebijik Singapore ibarat bumi dipijak milik orang lurus bendul politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.