Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang mahu melakukan badal haji perlu meminta syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut mengemukakan bukti bahawa ia memiliki permit badal haji sah yang dikeluarkan oleh agensi yang dilantik oleh Kerajaan Arab Saudi.

Selagi, syarikat berkenaan tidak dapat menunjukkan permit tersebut, orang ramai diminta tidak melantik dan membuat sebarang bayaran.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, permit tersebut hanya dikeluarkan di Arab Saudi dan Riyadh belum pernah melantik mana-mana agensi di seluruh dunia untuk mengeluarkan permit berkenaan.

Menurut beliau, cukup-cukuplah orang ramai diperdaya selama ini dengan pelbagai pakej badal haji yang murah sedangkan perbuatan mereka itu jelas menipu orang ramai.

Mohd Khalid berkata, permit badal haji yang diuruskan oleh agensi Arab Saudi itu pula hanya membenarkan penduduk tempatan atau penuntut di negara itu mengambil upah badal haji.

Itupun, syarat-syaratnya cukup ketat dan pematuhan yang tegas.

Tanpa permit yang sah, pembuat badal tidak boleh memasuki Arafah. Dan jika tidak boleh memasuki Arafah maka hukum wajib haji tidak dilaksanakan.

“Kalau ada syarikat di sini kata badal haji boleh dilakukan oleh warga Indonesia yang menetap di sana, itu semua temberang.

“20 atau 10 tahun dulu boleh la guna alasan ini, tapi urusan permit untuk buat badal haji di Arab Saudi sebenarnya begitu ketat,” katanya yang cukup bimbang dengan isu upah badal haji murah yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat di Malaysia.

Jelasnya, permit ini sama seperti visa haji yang dikeluarkan kepada bakal jemaah haji di Malaysia.

Tanpa permit itu, yang diberikan kepada satu nama sahaja, ibadah badal haji tidak boleh dilakukan.

“Justeru, sebelum melantik atau membuat bayaran bagi badal haji, tanya sama ada syarikat tersebut ada permit atau tidak.

“Kalau syarikat gagal menunjukkan permit, jangan mudah percaya,” tambahnya.

Tegas beliau, sudah sampai masanya umat Islam di Malaysia bersama-sama menangani penipuan yang dilakukan menerusi badal haji memandangkan permintaannya cukup tinggi.

“Kalau ditawarkan RM2,000 dan pakej diambil oleh 100 orang berapa untung yang diambil senang-senang oleh syarikat tidak bertanggungjawab.

“Sedangkan permit badal haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun
ini, dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819.47) hingga SAR 11,841 (RM14,322.68).

“Mana mungkin syarikat di sini tawar badal haji antara RM1,500 hingga RM3,500 jauh daripada kos sebenar. Siapa nak tanggung baki yang kurang tu.

“Kita jangan lupa, mata wang riyal lebih tinggi dari ringgit. Jadi jangan percaya, jangan beri mereka peluang menipu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette